Peminat

Bab 1


          “Qaira! Qaira! Tunggu lah kejap!” Dari jauh seorang budak lelaki terkejar-kejar memanggil Qaira. Hish budak ni kalau tak semak dalam hidup aku tak boleh ke? Qaira semakin laju melangkah.

          “Qaira! Qaira! Sekejaplah!” Semakin laju budak itu berlari mengejar Qaira.

          Buk! Tiba-tiba terdengar seperti sesuatu jatuh ke lantai. Qaira cepat-cepat berpaling ke belakang.

          “Ya Allah! Fuad!” Laju Qaira berlari ke arah budak lelaki yang bernama Fuad itu. Fuad perlahan-lahan bangun dan terus tersenyum melihat Qaira.

          “Err... Fuad, kepala tu berdarah tu.” Tergesa-gesa Qaira mencapai sapu tangan yang sedia ada di dalam poket baju sekolahnya. Perlahan Qaira mengelap darah pekat yang mengalir sedikit pada dahi lelaki tersebut.

          “It’s okay lah awak. Kenapa Fuad panggil Qaira, Qaira buat tak tahu je? Penat tau tak Fuad kejar. Sampai terjatuh macam ni. Ni ha dah berdarah siapa nak tanggung ni?” Membebel Fuad sehingga membuatkan Qaira sedikit menunduk. Fuad yang perasan akan perubahan wajah mendung Qaira, terus tersengih. Baru merungut sikit dah cuak dia ni. Kesian pulak aku tengok dia. Dah rasa bersalah sangat tu. Fuad menahan ketawa.

          “Err.. Akak minta maaf lah. Akak nak cepat tadi. Tak berapa dengar.” Ish dia ni kan aku dah menipu. Ni kalau ibu tau ni, mahu kena lempang laju-laju. Hiperbola sungguh ayat aku.

          “Ala, rilekslah awak. Tak ada apa lah. Saya okay je ni ha. Tengok ni!” Fuad mengetuk dahinya sedikit kuat.

          “Auch!” Ish yang aku ketuk kuat-kuat tu buat apa? Kan dah hancur rancangan nak tunjuk macho depan dia ni. Qaira ketawa perlahan.

          “Fuad ni buat lawak tak jadi lah. Ha apa benda tadi nak cakap sampai panggil-panggil akak tadi? Cepat sikit, akak nak balik ni. Nanti ibu bising pulak.” Qaira membetulkan kedudukannya dengan bersila di koridor bangunan tersebut. Alah bukan ada orang pun, selamba jelah aku duduk macam ni.

          “Qaira, nah! Hadiah untuk hari lahir Qaira hari tu. Sorry lah bagi lambat sikit sebab duit tak cukup masa tu.” Sebuah kotak kecil berbalut kertas warna berwarna biru lembut itu dihulurkan. Perlahan-lahan Qaira mengambilnya. Dibelek-beleknya kotak itu dan menggoncang-goncangkannya. Tiada bunyi.

          “Awak ni agak-agak lah nak hancurkan pun janganlah depan saya.” Nada suara Fuad sedikit perlahan.

          “Eh! Mana ada lah. Akak tengah spot check mana tau ada bom dalam ni?”

          “Tak kan lah saya nak bagi awak bom? Awak ni tak logik sungguh lah. Tau lah pengawas sekolah tapi tak kan sampai hadiah pun nak spot check?”

          “Alah akak main-main jelah. Terima kasih lah ya? Ni je kan? Akak nak balik ni. Fuad pun balik lah.” Qaira sudah bersedia ingin bangun. Tiba-tiba terasa tangannya ditarik.

          “Saya punya dahi ni? Dah lah awak yang buat, lepas tu tak nak bertanggungjawab pulak.” Fuad membuat muka comel. Qaira menarik tangannya perlahan-lahan daripada genggaman Fuad.

          “Haish yelah. Akak hantar sampai rumah je. Cepat sikit.” Qaira mula melangkah.

          “Qaira! Awak bukan nak tolong saya jalan. Sakit ni, awak.” Fuad cuba meraih simpati dengan membuat muka comel. Mentang-mentang lah comel, buat muka pulak.

          “Yang sakit tu dahi. Lansung tak ada kena mengena dengan kaki. Jangan nak ngada-ngada. Jalan sendiri.” Qaira tetap meneruskan perjalanan. Fuad yang ditinggalkan sendirian hanya tersengih sendirian. Ish, payahnya nak ambil hati dia ni. Tau aje dia yang aku tipu. Akhirnya, dia tetap meneruskan perjalanan seperti biasa.

          “Awak kenapa sombong sangat ya?” Fuad yang sedang membuntuti Qaira bertanya memecah kesunyian antara mereka yang sedang dalam perjalanan ke rumah Fuad.

          “Bila masa akak sombong? Akak okay je.” Berkerut-kerut dahi Qaira mendengar soalan Fuad. Sombong ke aku? Aku rasa aku okay je? Biar betul budak ni?

          “Kenapa bila saya nak kenal awak dengan lebih rapat, awak macam mengelak? Awak ni pelik tau? Saya ni dah lah kacak, pandai, comel, baik hati lagi. Satu sekolah nak kat saya, tapi awak? Pandang sebelah mata pun tidak?” Berhenti Qaira mendengar kata-kata Fuad.

          “Sebab akak datang sekolah nak belajar, bukan nak tengok Fuad yang kacak, pandai, comel dan baik hati lah sangat ni. Ya Allah, tak perasan satu hari tak boleh ke Fuad? Meluat akak dengar.” Ketawa besar mula kedengaran. Cepat-cepat Qaira menoleh ke arah Fuad. Tajam matanya memandang Fuad. Eh budak ni aku makan jugak karang. Fuad terus terdiam melihat renungan tajam Qaira itu.

          “Arr... Sorry. Hehe.” Tersengih-sengih Fuad menampakkan lesung pipitnya pada pipi sebelah kiri memaniskan lagi wajahnya. Qaira meneruskan perjalanan apabila terasa wajahnya kemerahan melihat wajah Fuad. Mak aii, boleh tahan comel jugak budak ni. Hish, astargfirullahalazim. Apa aku merepek ni? Qaira menepuk kedua-dua belah pipinya perlahan-lahan. Fuad yang memerhati dari belakang terus berjalan menyaingi Qaira.

          “Awak kenapa? Tepuk-tepuk pipi ni?” Risau pula dia melihat Qaira secara tiba-tiba menepuk pipinya. Sakit ke apa Qaira ni? Qaira yang melihat Fuad di sebelah dengan muka serius terus menjatuhkan tangannya dan berjalan dengan lebih laju. Takut Fuad perasan wajahnya yang semakin merah.

          “Tak ada apa-apa. Ha dah nak sampai tu. Siapa sampai dulu kena belanja ais krim besok!” Qaira terus berlari meninggalkan Fuad. Fuad yang terpinga-pinga terhenti sejenak. Eh, yang aku berhenti ni kenapa? Berlari Fuad mengejar Qaira sehingga tiba di rumahnya.

          “Eh, Qaira.. Fuad? Apa kena korang berdua ni?” Puan Siti Hajah pelik mlihat anak terunanya berlari-lari bersama seorang perempuan yang merupakan anak rakan baiknya.

          “Hai umi. Rindu umi sangat-sangat.” Tubuh uminya yang sedikit berisi itu dipeluk penuh gembira. Gembira sebab lain sebenarnya. Terkejut Puan Siti Hajah denga perlakuan anaknya itu.

          “Amboi tak pernah-pernah rindu umi sebelum ni. Fuad ada jatuh ke apa?” Puan Siti Hajah bergurau. Tersentak Qaira mendengar kata-kata umi Fuad itu. Eh kuat betul naluri seorang ibu ya? Masaklah aku kena nanti ni. Cemas muka Qaira menunggu hukuman. Fuad yang melihat muka cemas Qaira mula mahu mengusik.

          “Fuad memang jatuh pun tadi umi.” Fuad membuat muka comel. Puan Siti Hajah berkerut-kerut melihat wajah anaknya. Fuad bukan jenis kuat mengadu jika terjadi sesuatu pada anaknya itu. Memang dari kecil lagi, anaknya itu lebih banyak memendam perasaan.

          “Jatuh kat mana? Macam mana boleh jatuh? Ya Allah, kenapa dengan dahi Fuad ni? Fuad bergaduh ke apa?” Ragu-ragu Puan Siti Hajah melihat wajah anaknya itu. Baru dia perasan terdapat sedikit kesan darah pada dahi anaknya. Disebabkan rambut anaknya yang sedikit panjang di hadapan, dia tidak berapa nampak dahi anaknya itu. Kononnya mengikut trend kini yang mengagungkan sangat k-pop itu.

          “Tak adalah umi. Fuad jatuh je. Laju sangat berlari tadi. Nak balik cepat. Hehe. Umi tak payah risau lah. Macam lah umi tak kenal anak umi ni kan kuat?” Dikenyitkan matanya pada Puan Siti Hajah. Terjuih bibir uminya mendengar. Fuad yang nampak perlakuan uminya ketawa terkekeh-kekeh.

          “Terima kasihlah Qaira sebab tolong hantar anak umi balik. Jomlah masuk rumah dulu. Umi ada buat jemput-jemput pisang sikit tadi.” Tersenyum Puan Siti Hajah melihat anak dara sunti ini.

          “Tak apalah umi. Dah lewat ni. Qaira nak kena tolong ibu masak untuk makan malam. Qaira minta diri dulu ya umi. Kirim salam pada adik-adik dan abi.” Tangan Puan Siti Hajah diraih untuk bersalam. Fuad yang sejak tadi memerhatikan Qaira sehingga keluar dari halaman rumahnya dicuit Puan Siti Hajah. Tersentak Fuad dibuatnya.

          “Pandang anak dara orang mata tu tak pernah nak berkelip. Dah jom masuk.” Tersengih-sengih Fuad mendengar kata-kata uminya. Haih umi ni, cun tu umi, baik hati lagi, jual mahal lagi, lagi lah anak umi ni tertarik dengan dia. Cepat-cepat Fuad masuk ke dalam rumah apabila terasa ada rintik-rintik hujan mula membasahi wajahnya.

          “Assalamualaikum! Ibu...” Qaira perlahan-lahan menaiki tangga rumahnya yang agak berlubang-lubang itu. Puan Khadijah yang sedikit uzur itu tersenyum memandang anak tunggalnya yang telah pulang ke rumah. Qaira bersalam dengan ibunya.

          “Lama ibu tunggu Qaira? Maaf ya ibu sebab Qaira lambat pulang tadi. Qaira singgah rumah umi sekejap tadi.” Di tolak kerusi roda ibunya ke arah bilik. Puan Khadijah terlalu menyayangi anak tunggalnya ini kerana sejak lahir lagi, Qaira yang telah banyak memberi semangat kepadanya untuk terus hidup. Sepanjang Qaira membesar, Puan Khadijah sendirian menjaga dan mendidik anak perempuannya itu. Arwah suaminya yang telah lama pergi meninggalkannya sebelum Qaira dilahirkan lagi merupakan seorang lelaki yang baik. Tetapi Tuhan lebih menyayanginya dan mengambil suaminya pergi terlebih dahulu. Abang, Jah doakan abang sentiasa tenang di sana. Sebak hatinya apabila teringat arwah suaminya yang tercinta.

          “Ibu rehatlah hari ni ya? Qaira masakkan untuk ibu ya?” Qaira bersiap-siap untuk ke dapur. Mengeluh dirinya mengingatkan keadaan rumahnya yang semakin membaik disebabkan pertolongan umi dan abi. Hurm nampaknya lepas ni aku kena jugaklah berbaik dengan Fuad, keluarga dia dah terlalu banyak membantu dia dan ibunya selepas ibu yang sudah tidak boleh bekerja akibat terlalu uzur. Qaira menanak nasi dan memasak sup sayur kegemaran ibunya. Setelah siap, Qaira membawa nasi dan lauk ke dalam bilik ibunya. Ibunya yang sedang melelapkan mata dipandangnya sayu. Terlalu banyak jasa ibunya menjaga dan mendidiknya sejak kecil lagi.

          “Ibu... Bangun ibu... Qaira dah siap masak ni.” Perlahan-lahan bahu ibunya disentuh.

          “Ibu.. Makan jom ibu... Qaira dah masakkan sup sayur kegemaran ibu ni.” Bahu ibunya digoncang sedikit perlahan. Masih tiada reaksi. Tiba-tiba hatinya cemas melihat ibunya seperti kaku tidak bergerak. Di ambil pergelangan tangan ibunya untuk memeriksa nadi. Tiada denyutan nadi yang dirasakan.

          “Ibu.... Ibu jangan buat Qaira takut, ibu.. Ibu bangun ibu....” Semakin sayu suaranya memanggil ibunya. Dipeluk ibunya kejap. Dada ibunya tidak berombak perlahan seperti selalu. Laju air matanya turun membasahi pipi. Ibu, kenapa ibu tinggalkan Qaira? Rintih hatinya.




          Jenazah ibunya telah pun dikebumikan di Tanah Perkuburan Desa Delima. Air mata masih laju menuruni pipinya. Dia masih ingat lagi pesan ibunya. Tidak baik meratapi pemergian jenazah. Ibu, Qaira masih ingat pesan ibu. Tapi Qaira tak boleh tahan air mata ni daripada turun. Qaira sayang ibu. Semoga ibu tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

          “Qaira, umi dengan abi ada benda nak cakap sikit dengan Qaira. Qaira balik rumah umi ya hari ni?” Sayu Puan Siti Hajah melihat wajah anak tunggal rakannya yang telah pergi meninggal dunia. Mengenangkan Qaira tiada tempat untuk bergantung, bertambah sebak hatinya. Sejak kecil dia memang tahu Qaira seorang anak yang baik. Qaira yang masih sedih dengan pemergian ibunya hanya mengangguk perlahan.

          Sampai sahaja di rumah banglo milik Encik Umar Hafiz, Qaira terhenti di hadapan rumah banglo tersebut. Terasa segan dirinya untuk masuk ke dalam rumah besar itu. Dahulu ketika ibu masih ada, ada juga umi mengajaknya masuk ke dalam rumah, tetapi Qaira lebih selesa berbual di luar. Wajah umi yang kehairanan di pandang.

          “Qaira, janganlah malu-malu. Umi dah anggap Qaira macam anak umi. Lagi pun umi tak ada anak perempuan. Masuk jom sayang.” Di pimpin tangan Qaira. Sesungguhnya dia sangat-sangat menyayangi Qaira memandangkan dia memang tidak ada rezeki untuk mempunyai anak perempuan. Ketiga-tiga anaknya adalah lelaki. Qaira yang sedikit tersentak dengan tindakan umi berasa terharu. Banyak sangat jasa umi dan abi pada keluarganya. Terharu Qaira apabila umi memperlakukan dirinya seperti anak sendiri. Fuad yang sedari tadi diam di dalam kereta hanya memerhati sahaja. Rancangan uminya agak membuatkan dirinya gelisah.

          “Milah, awak tolong buatkan air untuk kami ya? Akak ada dalam bilik tetamu nanti. Jom Qaira.” Qaira hanya mengekor umi dan abinya ke arah sebuah bilik yang dilengkapi perabot yang serba mewah.

          “Qaira, umi dengan abi dah buat keputusan. Umi dengan abi nak ambil Qaira tinggal di rumah ni. Nak Qaira jadi anak umi. Lagipun umi dan abah jugak dah berjanji pada ibu kamu untuk menjaga kamu sehingga kamu besar. Umi dengan abi harap sangat Qaira setuju dengan cadangan umi dengan abi ni.” Puan Siti Hajah telah lama menyimpan hasratnya yang satu itu. Sejak kecil lagi hatinya cukup berkenan dengan Qaira yang penuh dengan sopan santun itu. Qaira yang mendengar hasrat uminya sedikit serba salah.

          “Umi... Abi... Qaira bukan nak menolak hasrat umi dan abi tu. Tapi keluarga Qaira dah terlalu banyak umi dan abi tolong. Qaira sangat-sangat berterima kasih dengan umi dan abi sebab sudi tolong kami. Sampai bila-bila pun Qaira takkan boleh balas jasa baik umi dan abi. Tapi umi... abi... Qaira tak nak susahkan umi dan abi lagi. Qaira sayang umi dan abi macam Qaira sayang arwah ibu dan abah. Qaira minta maaf sangat-sangat.” Mengalir air matanya menyatakan kata-katanya. Risau juga jika kedua-dua orang yang disayanginya itu akan terasa hati. Tetapi dia sangat-sangat terharu dengan hasrat mereka sehingga dia tidak sanggup menambah beban pada umi dan abinya itu.

          “Qaira, abi dan umi dah berjanji dengan ibu Qaira. Kami memang sangat berharap dapat jadikan Qaira sebagai anak kami. Qaira tak sudi ke nak jadi anak perempuan kami?” Encik Umar Hafiz cuba meraih simpati. Hanya itu sahaja cara untuk dia membuat Qaira menerima mereka walaupun tindakannya itu mampu membuat Qaira merasa bersalah.

          “Bukan Qaira tak sudi, umi.. abi.. Tapi...”

          “Qaira dengar cakap umi ya? Qaira dah tak ada siapa-siapa nak jaga Qaira kat rumah tu. Umi betul-betul harap Qaira terima kami. Kami akan biaya pelajaran Qaira sehingga Qaira berjaya. Arwah ibu mesti nak tengok Qaira berjaya. Tolonglah terima permintaan umi dan abi ni, Qaira.” Qaira menunduk serba salah. Ada betulnya kata-kata uminya itu. Memang ibu teringin melihatnya menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

          “Baiklah umi.. abi.. Qaira terima..”Akhirnya Qaira bersuara setelah lama berdiam diri. Puan Siti Hajah Dan Encik Umar Hafiz tersenyum bahagia.

          “Terima kasih Qaira, anak umi.” Puan Siti Hajah terus memeluk Qaira. Hatinya terasa sangat bahagia kerana Qaira sudi menjadi anak perempuannya. Jah, aku janji aku akan jaga anak kau macam anak aku sendiri Jah. Mengalir laju air matanya. Qaira turut membalas pelukan uminya. Tiba-tiba pintu bilik tersebut diketuk Encik Umar Hafiz menguak pintu itu perlahan-lahan. Fuad yang sedang menatang sedulang air kopi masuk dengan muka tiada perasaan dan meletakkan dulang tersebut di atas meja kecil yang sedia ada di hadapan sofa.

          “Fuad, sekarang Fuad kena panggil Qaira kakak tau. Qaira sekarang salah seorang ahli keluarga kita.” Puan Siti Hajah mengesat air matanya dan tersenyum manis ke arah Fuad. Qaira yang sedar akan kehadiran Fuad hanya menunduk.

          “Sampai bila-bila pun Fuad takkan panggil dia kakak, umi!” Wajahnya masam mencuka memandang umi dan abinya.

          “Fuad, kenapa cakap macam tu? Qaira sekarang kakak Fuad. Sama ada Fuad suka atau tidak, umi dan abi tetap nak Fuad anggap Qaira macam kakak Fuad sendiri!” Tegas kata-kata abinya. Fuad sedikit merengus. Kenapa mesti kau Qaira? Kenapa mesti kau? Fuad memandang sayu wajah Qaira yang sedikit menunduk itu dan terus berlari keluar dari bilik itu.

          “Qaira janganlah risau ya? Lama-lama Fuad mesti boleh terima. Dia tu sebenarnya anak yang baik. Mari, umi tunjuk kan bilik Qaira. Tapi umi belum hias lagi lah. Nanti umi dengan abi memang nak hias bilik Qaira tu.” Puan Siti Hajah teruja ingin menunjukkan bilik yang Qaira. Qaira hanya mengekor. Hatinya masih tidak tenteram melihat penerimaan Fuad tentang dirinya masuk ke dalam keluarga itu. Kenapa Fuad tak suka aku? Qaira mengeluh perlahan.

           “Ni dia bilik Qaira. Berdepan dengan bilik Fuad.” Puan Siti Hajah menguak pintu bilik tersebut. Terkejut Qaira melihat bilik yang sebesar rumahnya. Kelihatan kemas dan bersih. Semakin terasa serba salah Qaira ingin tinggal di situ.

          “Buat susah umi je. Qaira dapat bilik kecil pun dah cukup sebenarnya umi.”

          “Apa pulak. Qaira sekarang anak umi. Tak ada yang susahnya bagi umi. Qaira rehatlah dulu ya? Umi dah suruh Pak Samad ambil barang-barang Qaira dekat rumah ibu tu. Malam nanti jangan lupa turun makan ya sayang?” Dikucup lembut dahi anaknya perempuannya itu. Tersentuh hati Qaira dengan perlakuan uminya. Qaira terus baring di atas katil yang boleh memuatkan dua orang manusia itu setelah pasti Puan Siti Hajah telah keluar dari bilik itu. Besarnya katil. Haih. Betul ke tindakan aku ni? Dengan Fuad yang tiba-tiba tak suka aku. Macam mana aku nak hidup dalam rumah ni? Ibu, Qaira rindu ibu. Mengalir air matanya kerana menahan perasaan rindu pada ibunya.

          Tuk Tuk Tuk! Tiba-tiba terdengar ketukan pada pintu biliknya. Menggelabah Qaira bangun membetulkan bajunya. Umi datang balik ke? Qaira membuka pintu itu berhati-hati. Terjengul wajah Fuad yang masam mencuka di hadapan pintunya. Lah.. ingat siapa lah tadi.

          “Kenapa kau terima nak jadi anak angkat umi?” Kasar suaranya. Tidak lagi lembut dan berbudi bahasa seperti sebelumnya.

          “Kenapa Fuad tak suka ke?” Ni lah nama dia kura-kura dalam perahu, buat-buat tak tahu. Walaupun Qaira agak terkejut dengan perlakuan kasar Fuad padanya, tetapi ibunya tidak pernah ajar untuk menjadi kurang ajar pada orang lain. Di layankan saja perangai Fuad ni.

          “Dah tahu tanya kenapa?” Bersandar tubuh Fuad sambil berpeluk tubuh pada muka pintu bilik Qaira sambil meniup-niup rambutnya yang panjang di hadapan. Tanda tidak puas hati.

          “Kenapa Fuad tak suka akak duduk dalam rumah ni?”

          “Kau rasa?”

          “Akak minta maaflah kalau akak ada buat salah pada Fuad. Tapi akak tak sanggup nak tolak permintaan umi dan abi.”

          “Alasan! Akak boleh je kan duduk dengan orang lain? Kenapa mesti keluarga Fuad?” Meninggi suara Fuad. Qaira yang berada betul-betul berhadapan dengan Fuad sedikit tersentak. Air matanya mengalir tiba-tiba. Macam tu sekali Fuad benci aku. Fuad sedikit terkejut melihat wajah Qaira. Ah sudah! Melampau sangat ke aku tadi?

          “Akak minta maaf. Esok akak akan keluar dari rumah ni.” Qaira terus menutup pintu biliknya. Fuad yang berada di hadapan pintu itu terpinga-pinga. Ya Allah, apa aku dah buat? Terduduk Fuad di hadapan pintu bilik Qaira. Rasa bersalah menyelubungi dirinya tatkala dia nampak ada air jernih yang mengalir pada pipi Qaira.

          “Qaira, Fuad minta maaf.” Perlahan suaranya. Menyesal kerana membuat gadis itu menangis. Qaira yang berada di dalam bilik, menangis teresak-esak di atas katil sehingga dia terlelap tanpa mengetahui Fuad yang masih berada di hadapan pintu.


Ikhlas dari Qaseeh Akasia

0 komen budak kiut: